Monday 15 August 2016

Anak berumur 5 tahun, mahu hantar ke mana?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Soalan di atas mungkin pernah bermain di kepala ibubapa. Pelbagai faktor perlu dikira sebelum membuat keputusan. Tentu ibubapa tidak mahu anak mereka ketinggalan dari segi pelajaran apabila masuk darjah satu nanti. Tetapi, bagaimana pula dengan kos pendidikannya? Siapa pula yang akan menghantar dan mengambil mereka? Sempatkah ibubapa hantar adiknya ke taska, kemudian kakanya ke tadika? Bagaimana jika terpaksa balik lewat kerana mesyuarat penting atau traffic jam luar biasa berlaku?

FAMIMA mengendalikan operasi taska dan tadika. Berdasarkan masalah di atas, ada beberapa cara yang boleh ibubapa boleh pertimbangkan.

1. Hantar anak ke taska kategori kedua untuk "playschool".

Jika ibubapa membaca posting sebelum ini, ibubapa sepatutnya sudah tahu apa dia taska kategori kedua. Kategori ini tidak tertulis di mana-mana, cuma dikelaskan begitu supaya ia lebih mudah difahami.

Walaupun anak sudah berumur 5 atau 6 tahun, taska kategori kedua seperti FAMIMA masih sesuai dengan anak anda. Ini adalah kerana taska kategori kedua ada modul yang sesuai untuk umur anak-anak ini. Ia selalunya disebut "playschool". Ibubapa boleh mendapatkan perincian modul dengan taska untuk mendapatkan kepastian.

Untungnya menghantar anak ke taska adalah ia lebih mudah dan murah. Contohnya, jika ibubapa mempunyai seorang bayi dan seorang anak berumur 5 tahun, ibubapa hanya perlu hantar mereka berdua ke satu tempat sahaja. Tidak perlu lagi bersusah payah menghantar adik ke taska kemudian kakak ke tadika. Bahkan, kos upah juga selalunya lebih murah sedikit berbanding kos menghantar ke tadika. Makan minum juga lebih terjamin kerana pengurusan makanan dilakukan oleh pekerja berdaftar yang telah hadir kursus wajib Jabatan Kebajikan Masyarakat dan telah mendapat suntikan typhoid. Berbaloi kan?  

2. Hantar anak ke tadika dan day care.

Ibubapa juga boleh menghantar anak ke tadika yang turut memberikan khidmat day care. FAMIMA juga ada mengendalikan tadika seperti ini.

Pihak tadika wajib mengajar modul-modul sejajar dengan kehendak Jabatan Pendidikan Negeri. Jika ibubapa melihat ada tadika yang mempromosikan modul-modul mereka seolah-olah modul mereka tiada tandingan, janganlah mudah keliru. Walau bagaimana hebat pun jenama tadika tersebut, mereka masih perlu mengikut modul yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri. Mungkin cara penyampaian tadika tersebut berlainan seperti penggunaan audio-visual dan komputer. Ada juga yang menambah modul seperti bahasa mandarin, keusahawanan, al-baghdadi, dan sebagainya untuk menambah nilai. Itu adalah kelebihan tadika masing-masing, tetapi tetap tidak lari dari kehendak Jabatan Pendidikan Negeri.

Dalam pemilihan tadika, ibubapa perlu memikirkan kelangsungan ilmu yang diberi di tadika tersebut. Contohnya, ibubapa mahu anak belajar bahasa Mandarin. Bagus! Tetapi, apa akan jadi kepada ilmu tersebut selepas anak-anak masuk ke sekolah rendah nanti? Ada plan untuk mengaplikasikan bahasa Mandarin atau akan mati di situ sahaja? Jika tiada perancangan untuk kelansungan ilmu, eloklah fokus pada yang wajib sahaja.

Hantarlah Anak ke Taska

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Anak-anak dari bayi sehingga berumur 4 tahun perlu dihantar ke taska. Ibu bapa tidak boleh menghantar bayi ke tadika kerana pihak tadika tiada permit menjaga bayi walaupun atas dasar suka sama suka. Oleh itu, pasangan suami isteri yang bekerja perlu mencari taska untuk menjaga anak-anak mereka buat permulaan. 

Boleh juga menghantar anak-anak kepada datuk dan nenek mereka untuk dijaga. Tetapi, ibubapa perlu fikirkan juga, penjagaan anak-anak kecil agak remeh dan perlukan perhatian sepenuhnya. Kasihan datuk dan nenek yang bersusah payah membesarkan anak, kini bersusah payah menjaga cucu pula. Dimanakah masa mereka beribadat? Sempatkan bersolat dhuha? Sempatkah ke surau untuk belajar agama? Sempatkah solat qobliah dan ba'diah apabila menjaga cucu. Setelah penat seharian melayan kerenah cucu, laratkah mereka berqiamullail di malam hari? 

Bagi saya, baiklah keluarkan duit daripada membuli atau mengambil kesempatan atas kebaikan datuk dan neneknya. Jika datuk dan nenek rindu hendak bermain dengan cucu, bawalah mereka datang bermain 2-3 jam sahaja, bulan 12 jam setiap hari Isnin hingga Jumaat. 

Berbalik kepada operasi taska, secara amnya ada dua kategori pengusaha taska. Kategori pertama adalah penjagaan semata-mata. Kategori kedua adalah penjagaan dan pendidikan. Selalunya, harga upah kedua-dua kategori ini akan berbeza kerana kategori kedua melibatkan banyak aktiviti untuk perkembangan anak-anak. 

Tidak salah menghantar anak ke taska kategori pertama. Anak-anak tetap dijaga. Makan dan minum cukup. Cuma, mereka akan lebih bermain setiap hari dan menonton kartun di TV. Pengusaha tidak perlu siapkan modul harian, membeli permainan khas perkembangan anak-anak, ataupun menyediakan laporan perkembangan anak-anak.

Taska FAMIMA adalah taska kategori kedua. Taska kategori ini mengasuh anak-anak seperti kategori pertama tadi. Cuma, setiap hari, guru-guru akan mendidik anak-anak berdasarkan modul yang ditetapkan. Mungkin kita melihat mereka bermain seperti kanak-kanak lain, tetapi permainan akan disusun supaya perkembangan anak-anak seimbang dengan skill-skill tertentu. Anak-anak tidak mudah bosan kerana setiap hari, aktiviti berlainan akan dijalankan. Yuran pendaftaran yang ibu-bapa bayar akan diguna untuk aktiviti harian seperti alatan lukisan, buku, plastisin, kertas warna, gam dan sebagainya.  

Mungkin ibubapa risau anak-anak berasa tertekan dengan modul-modul tersebut. Hilanglah gembira zaman kanak-kanak kerana setiap hari perlu belajar bermacam-macam. Tetapi, percayalah modul di taska ringan dan tidak membebankan. Masalah anak-anak tertekan selalunya terjadi semasa di tadika nanti. 

Semoga anak-anak di FAMIMA terus ceria, gembira dan berjaya dengan modul asuhan dan didikan kami. Insyaa Allah.

Tadika atau Taska?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Di kesempatan ini, saya ingin mengupas secara ringkas berkenaan tadika dan taska. FAMIMA mengendalikan operasi tadika dan taska. Semoga pembaca boleh beri komen dan mendapat manfaat dari penulisan ini.

Secara amnya, tadika bermaksud TAman DIdikan KAnak-kanak. Tadika adalah pusat didikan di mana pengendalinya perlu fokus kepada "pendidikan". Ini berbeza dengan taska yang lebih fokus kepada "asuhan". Oleh sebab itu, pengusaha tadika akan lebih mempromosikan modul dan pencapaian anak didik masing-masing kerana fokus utama adalah pendidikan. Oleh sebab itu, kita jarang mendengar tadika mempromosikan penggunaan CCTV, air bertapis, asuhan oleh jururawat dan sebagainya kerana itu lebih menjurus kepada operasi taska. Bukan bermakna semua penggunaan di atas tidak penting, tetapi ia tidak menjadi fokus utama.

Taska pula bermaksud TAman aSuhan KAnak-kanak. Taska adalah pusat asuhan di mana pengedalinya perlu fokus pada "asuhan". Oleh itu, pengusaha taska akan lebih mempromosikan keselamatan dan asuhan seperti penggunaan CCTV, air bertapis dan asuhan oleh jururawat. Bukan bermakna pendidikan tidak penting, tetapi bukan menjadi fokus utama di taska.

Justeru itu, pengusaha Tadika akan banyak berurusan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan pengusaha Taska akan banyak berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.