Monday 15 August 2016

Anak berumur 5 tahun, mahu hantar ke mana?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Soalan di atas mungkin pernah bermain di kepala ibubapa. Pelbagai faktor perlu dikira sebelum membuat keputusan. Tentu ibubapa tidak mahu anak mereka ketinggalan dari segi pelajaran apabila masuk darjah satu nanti. Tetapi, bagaimana pula dengan kos pendidikannya? Siapa pula yang akan menghantar dan mengambil mereka? Sempatkah ibubapa hantar adiknya ke taska, kemudian kakanya ke tadika? Bagaimana jika terpaksa balik lewat kerana mesyuarat penting atau traffic jam luar biasa berlaku?

FAMIMA mengendalikan operasi taska dan tadika. Berdasarkan masalah di atas, ada beberapa cara yang boleh ibubapa boleh pertimbangkan.

1. Hantar anak ke taska kategori kedua untuk "playschool".

Jika ibubapa membaca posting sebelum ini, ibubapa sepatutnya sudah tahu apa dia taska kategori kedua. Kategori ini tidak tertulis di mana-mana, cuma dikelaskan begitu supaya ia lebih mudah difahami.

Walaupun anak sudah berumur 5 atau 6 tahun, taska kategori kedua seperti FAMIMA masih sesuai dengan anak anda. Ini adalah kerana taska kategori kedua ada modul yang sesuai untuk umur anak-anak ini. Ia selalunya disebut "playschool". Ibubapa boleh mendapatkan perincian modul dengan taska untuk mendapatkan kepastian.

Untungnya menghantar anak ke taska adalah ia lebih mudah dan murah. Contohnya, jika ibubapa mempunyai seorang bayi dan seorang anak berumur 5 tahun, ibubapa hanya perlu hantar mereka berdua ke satu tempat sahaja. Tidak perlu lagi bersusah payah menghantar adik ke taska kemudian kakak ke tadika. Bahkan, kos upah juga selalunya lebih murah sedikit berbanding kos menghantar ke tadika. Makan minum juga lebih terjamin kerana pengurusan makanan dilakukan oleh pekerja berdaftar yang telah hadir kursus wajib Jabatan Kebajikan Masyarakat dan telah mendapat suntikan typhoid. Berbaloi kan?  

2. Hantar anak ke tadika dan day care.

Ibubapa juga boleh menghantar anak ke tadika yang turut memberikan khidmat day care. FAMIMA juga ada mengendalikan tadika seperti ini.

Pihak tadika wajib mengajar modul-modul sejajar dengan kehendak Jabatan Pendidikan Negeri. Jika ibubapa melihat ada tadika yang mempromosikan modul-modul mereka seolah-olah modul mereka tiada tandingan, janganlah mudah keliru. Walau bagaimana hebat pun jenama tadika tersebut, mereka masih perlu mengikut modul yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri. Mungkin cara penyampaian tadika tersebut berlainan seperti penggunaan audio-visual dan komputer. Ada juga yang menambah modul seperti bahasa mandarin, keusahawanan, al-baghdadi, dan sebagainya untuk menambah nilai. Itu adalah kelebihan tadika masing-masing, tetapi tetap tidak lari dari kehendak Jabatan Pendidikan Negeri.

Dalam pemilihan tadika, ibubapa perlu memikirkan kelangsungan ilmu yang diberi di tadika tersebut. Contohnya, ibubapa mahu anak belajar bahasa Mandarin. Bagus! Tetapi, apa akan jadi kepada ilmu tersebut selepas anak-anak masuk ke sekolah rendah nanti? Ada plan untuk mengaplikasikan bahasa Mandarin atau akan mati di situ sahaja? Jika tiada perancangan untuk kelansungan ilmu, eloklah fokus pada yang wajib sahaja.

No comments:

Post a Comment